Kelebihan e-Commerce

Redaksi 30 Juni 2020 | 14:23 49
Kelebihan e-Commerce

Meor Muaz Bin Meor Nadzri Mahasiswa UIN Ar-Raniry Asal Malaysia

Oleh Meor Muaz Bin Meor Nadzri
Mahasiswa UIN Ar-Raniry Asal Malaysia

Pada era serba moden ini, perkembangan teknologi maklumat yang pesat turut mendorong kepada kemajuan ekonomi dunia secara tidak langsung. Pertambahan mendadak pengguna Internet di dunia merupakan fenomena besar terhadap dunia perdagangan.

Internet terbukti memberikan kesan dan manfaat berskala besar kepada manusia di seluruh dunia termasuklah komuniti usahawan. Perkembangan yang pesat dalam bidang teknologi maklumat, terutamanya dalam perkembangan Internet telah memberi kesan kepada penggunaan elektronik secara menyeluruh dalam pelbagai bidang antaranya ialah e-commerce.

Perdagangan Elektronik juga dikenali sebagai e-commerce, e-commerce ialah sebuah sistem perniagaan yang menggunakan kemudahan teknologi maklumat, terutamanya telekomunikasi canggih dan talian Internet untuk berurusan dengan pelanggan. Ia merupakan kegiatan perniagaan menggunakan Internet sebagai instrumen pemasaran dengan jangkauan potensi jualan ke serata dunia tanpa sempadan geografi.

E-commerce menggunakan Internet sebagai medium untuk mewujudkan satu rangkaian yang menyatukan pelanggan, penjual dan pihak ketiga seperti bank, syarikat kewangan, syarikat kad kredit dan sebagainya dalam satu persekitaran elektronik yang selamat untuk semua pihak. Internet ini pada asalnya direka untuk menjadi persekitaran menampung aliran bebas komunikasi.

Dengan adanya e-commerce, sesebuah syarikat atau individu boleh melakukan transaksi jual beli di mana-mana sahaja di dunia ini. Ia digunakan secara meluas, terutamanya di negara-negara Barat, malah diakui oleh syarikat antarabangsa dan pakar pasaran sebagai satu sektor perniagaan dan pemasaran.

E-commerce merupakan salah satu kaedah perniagaan yang membawa keuntungan jika dilakukan dengan cara yang betul. Walaupun pasaran saham dan komoditi menurun, namun e-commerce masih mampu bertahan dan menerima transaksi yang tinggi. Antara syarikat e-commerce yang telah berjaya dan menjadi pelopor di Malaysia ialah shopee, mudah, lazada, fingo dan sebagainya. Hal ini menunjukkan bahwa pendedahan kemajuan teknologi Internet di Malaysia khususnya dan di seluruh dunia umumnya semakin meluas dan mendapat perhatian manusia sejagat.

Kebaikan perniagaan e-commerce perlu dilihat dari dua sudut, iaitu sudut peniaga dan sudut pengguna. Kebaikan kepada peniaga antaranya Melalui e-commerce, ia dapat menghapuskan atau mengurangkan kos sewaan gudang atau premis perniagaan, insurans, sewaan perkhidmatan kawalan serta lain-lain kos yang berkait dengan kos penyimpanan dalam transaksi pemindahan barangan atau perkhidmatan.

Peniaga dapat berhubung terus dengan pengguna, bukan sekadar mendapat maklum balas secara terus tanpa melibatkan pihak ketiga tetapi juga cepat dan secara talian terus (online). Jika dahulu cakupan pemasaran produk hanya terhad di kawasan sekitar sahaja, namun melalui e-commerce, peluang untuk mengiklan dan memasarkan barangan atau perkhidmatan lebih luas tanpa sempadan dapat dilakukan. Selain itu, hasil boleh dilihat dengan cepat.

Kebaikan kepada pengguna pula ialah Pengguna dapat membuat perbandingan dan mempunyai banyak pilihan dari segi harga, kualiti dan juga perkhidmatan. Dengan itu, pelanggan dapat membuat pilihan yang tepat dan dapat memenuhi kehendak mereka. .

Melalui pembelian secara atas talian, pengguna boleh melayari keseluruhan produk dengan usaha minimum, tiada kesulitan dan menjimatkan masa serta dapat menganalisis barangan atau perkhidmatan dengan tidak perlu pergi ke kedai atau premis berkenaan. Kebaikan e-commerce yang ketara adalah dari sudut memberi keselesaan membeli-belah. Selain itu, e-commerce berupaya memberi maklumat yang mesra pelanggan dan terkini. Susun atur yang mudah untuk dilayari serta mempunyai penerangan untuk setiap barangan.

Perniagaan Internet melalui e-commerce ini bukan sahaja memberikan manafaat kepada pengguna, malah memberikan kemudahan dan kebaikan kepada peniaga. Dari semasa ke semasa, e-commerce akan memberikan peluang dan cabaran yang tidak terkira banyaknya kepada ekonomi dan masyarakat kita.

Bagi peniaga, e-commerce boleh meningkatkan jualan dan mengurangkan kos pengeluaran serta dapat mengenal pasti pembekal baharu dan rakan kongsi perniagaan selain dapat berinteraksi terus dengan pengguna.

Walau bagaimanapun, pengguna juga harus berhati-hati kerana terdapat beberapa risiko yang bakal dihadapi oleh mereka. Persediaan yang lebih teratur perlu jika konsep e-commerce ini hendak dilaksanakan.

Tegasnya, urus niaga secara dalam talian ini mempunyai kesan negatif dan positif yang tersendiri. Namun, jika dimanfaatkan dengan baik urus niaga ini dapat membawa produk dan imej negara ke persada antarabangsa serta mampu bersaing dalam ekonomi dunia tanpa sempadan.

Oleh itu, semua pihak perlu bekerjasama untuk menggerakkan ekonomi negara agar lebih maju dan setanding dengan negara luar. Mari !